Mengapa kita sukar merasai cinta Allah pada kita? Ketahuilah sebenarnya kita suka menunggu cinta itu datang pada kita terlebih dahulu. Kita seringkali memohon Allah mencintai kita. Kita seringkali merayu pada isteri/suami dan anak-anak kita untuk menyintai kita.
Seringkali keegoaan kita sangat ketara apabila kita tidak menerima cinta, kita tidak mahu memberikan cinta dan kasih sayang. Bagi kita, kita harus dapat dahulu, baru kita rasa kita akan ikhlas memberi.
Seandainya semua orang ego seperti ini, pastilah masing-masing menunggu cinta. Kita lupa hakikat cinta yang sebenar iaitu CINTA TIDAK MAMPU DIRASAI SEANDAINYA KITA TIDAK MEMBERI.
Ya benar saudara. Allah sentiasa menyintai kita. Malah setiap saat cinta Allah pada kita tidak pernah berkurangan. Begitu juga mereka yang dekat dengan kita. Suami, isteri, anak-anak, ibu bapa serta sahabat-sahabat sentiasa menyintai kita.
Namun walaupun Allah mencintai kita, walaupun sehebat mana cinta mereka yang dekat dengan kita menyintai kita, kita tidak akan mampu merasai cinta itu selagi kita juga tidak menyintai mereka.
Inilah keindahan sebuah cinta yang dilahirkan Allah SWT. Syaratnya harus saling memberi. Lalu dengan kefahaman ini, kita harus memberi walaupun mungkin di awalnya rasa itu berkurangan akibat sesuatu yang membuat kita terasa dengan isteri/suami, anak-anak, ibu bapa dan lain-lain.
Cinta tidak semestinya datang di awal. Selalunya kita mampu merasai cinta setelah kita memberi cinta. Inilah tuntutan yang Allah tetapkan.
Sebenarnya bukanlah dalam soal cinta sahaja untuk kita mesti memberi terlebih dahulu. Dalam soal lain juga kita harus memberi terlebih dahulu.
Kasih sayang harus di beri dahulu. Kebaikan juga. Begitu juga dengan redha kepada isteri/suami.
Banyak perkara dalam hidup ini merupakan TIMBAL BALIK atas apa yang kita lakukan. Lalu untuk mengharapkan sesuatu yang baik, kita harus beri dahulu yang baik.
Begitu juga dengan pencapaian kita. Semuanya menuntut agar kita agar kita perlu memberi terlebih dahulu. Dapat duit gaji, harus kerja dahulu. Ingin lulus dengan cemerlang, harus belajar dahulu. Ingin dihormati, harus menghormati orang dahulu. Ingin dicintai, harus menyintai dan sebagainya.
Artikel saya “Kekeliruan Dengan Keikhlasan” menjelaskan bahawa kita harus memberi dahulu tanpa memikirkan ikhlas untuk memberi. Ketika kita melakukan kebaikan, yakinlah pada Allah bahawa timbal baliknya adalah baik. Yang utama adalah keyakinan pada Allah.
Ikhlas tidak semestinya datang di awal kerana ketika di awal, kita hanya menggunakan fikiran ke atas kebaikan yang bakal kita lakukan. Kita sekadar meletakkan persepsi itu ini dengan apa yang bakal kita lakukan. Lalu kebaikan yang bakal kita lakukan membuatkan kita ragu seandainya ia sia-sia.
Kita tidak yakin dengan ketetapan Allah bahawa kebaikan yang dilakukan pasti akan dibalas Allah dengan kebaikan walau dengan apa jua balasan. Samada jelas balasannya atau tidak ada balasan, ia cuma pada persepsi kita. Namun hakikatnya, kebaikan pasti mendapat ganjaran pahala dari Allah.
Ketika atau setelah kita lakukan kebaikan, ketika itulah kita mula merasa hakikat sebenar. Kita berasa pelbagai rasa yang tidak mampu kita ceritakan. Tidak ada sesiapa yang tidak suka menerima kebaikan. Apatah lagi mereka yang menyintai kita.
Lalu MULAI SAAT INI, marilah kita menjadi orang yang sentiasa memberi. Bukan sekadar harta benda, tetapi berikanlah kebahagiaan kepada sesiapa pun dalam apa jua keadaan kita. Jangan pedulikan dengan apa yang kita akan terima ke atas kebaikan yang kita lakukan. Ia tidak sukar. Cukup dengan keyakinan bahawa segala apa yang kita lakukan pasti mendapat timbal balik.
Atas keyakinan kebaikan dibalas dengan kebaikan, pasti kita akan memiliki juga kebahagiaan daripada mereka yang menerima kebahagiaan daripada kita. Jika tidak menerima kebahagiaan daripada mereka pun, yakinlah bahawa Allah pasti akan berikan juga daripada sumber yang kita tidak pernah sangkakan.
Allah sentiasa menyintai kita. Namun ingatlah, kita tidak mampu menyedari dan merasai cinta Allah seandainya kita tidak pernah menyintaiNya.
Seandainya tidak wujud rasa cinta kita pada Allah, mohonlah pada Allah agar diberikan kita ini rasa cinta kepadaNya. Lakukanlah kebaikan pada manusia dan alam ini seperti yang diperintahkan Allah pada kita lalu pasti kita akan mampu merasai cinta Allah.
Tidak perlu tunggu kita menerima kebaikan terlebih dahulu atau merasai senang hati untuk melakukan kebaikan untuk kita melakukan kebaikan. Ingatlah SEMUA PERKARA DALAM HIDUP KITA ADALAH TIMBAL BALIK ATAS APA YANG KITA BERIKAN.
Fuad Latip
15 Jun 2011
http://www.fuadlatip.com


No comments:
Post a Comment